Thursday, September 3, 2009

SESUDAH SUBUH


Sesudah subuh
Kabus-kabus segar
Sedang rakus menyentuh tubuh
Lalu aku kesejukan
Sementara hati turut sama kedinginan
Diiringi kebeningan pagi mulai beransur menghilang

Adakah pagi esok?
Aku masih mampu bangkit lagi
Untuk menghirup udara segar
Bersama kedamaian pagi sebegini
Bersama hari-hari yang gerimis
Sebelum aku diseru pulang

Oh Tuhanku!
Permintaan terakhirku
Sebelum engkau mengutus utusan memanggilku
Jangan kau biar bibirku kering dari menyebut namamu
Jangan kau biar hatiku buntu dari menyintaimu
Jangan kau biar aku terpenjara dari sujud menyembahmu

Oh Tuhanku!
Pada saat aku dipanggil nanti
Pesan-pesanlah pada Izrail
Cabutlah nyawaku dengan penuh kelembutan
Agar aku tidak terasa akan deritanya zat maut
Seperti yang kau perintahkan Izrail
Bilamana kekasihmu Rasullah dijemput pulang.

Oh Tuhanku!
Jangan sesekali nyawaku dicabut Izrail nanti
Seperti hambamu yang kafir lagi zalim.
Dan hambamu yang tak mahu berfikir
Akan azabnya penantian di kubur
Dan akan peritnya di Padang Masyar nanti.

Anjan Ahzana, UM 2003

Kata penulis: Sajak ini adalah yang di peringkat permulaan menulis sajak. Terilham sewaktu berada di dewan kuliah Akademi Islam UM.

DALAM RENYAH YANG SEBENTAR

Renyah di hadapan menukar pandangan
ada kabur di mata,
harus kau jernihkan
kerana tempias yang selalu menyaljukan jiwa jua,
perlu dibasahkan dalam percikan
selalu mengharuskan sebuah ketabahan
untuk melalui bilah siang tajam
sebagai seorang perempuan yang datang ke kota.

Dalam renyah itu
sesudah hujan
bagaikan ada jeriji memisahkan
antara diriku dan dirimu
dalam sarat awan
selalu menghamilkan resah di jalan
meski aku yang dalam kebasahan
dapat jua kulihat matamu kebasahan
di bawah teduhan bangunan tinggi
kota menjadi dingin
untuk menerima kau sebagai penghuni.

Kerana dalam renyah itu
payahnya kau mengatakan untuk hidup
di kota tanpa ada seorang lelaki di sisi.

Aku tidak mahu kepada keindahan
dan juga neon kota,
kerana malam yang selalu merebahkan sentosa perawan.

Kadangkala mahu kukatakan
kepada para pemuda
selimutilah gadis yang sering kau bawa pergi
dengan selubung murni
agar mereka tidak kedinginan
nanti tiada pula terbaham angin malam yang celaka.

Dan aku tidak mahu keindahan itu
meski kota ini pasti mengecewakan nikmat.

Kerana aku, cuma mahu kau selamat di sisiku
mungkin begitu jua katamu.

Anjan Ahzana
Taman Tun Teja, Rawang, Selangor
(Telah Diterbitkan dalam Mingguan Malaysia, 3 Oktober 2004)

Kata Penulis: Sajak ini terilham sewaktu aku menjalani latihan mengajar di Sek Men Agama Rawang Batu 16, Rawang, Selangor bermula pada Mei - Julai 2004. Aku memasuki taman perumahan Tun Teja yang memberikan aku suatu coretan perjalanan yang panjang untuk dikisahkan.

DAUN-DAUN PUN GUGUR DAN CINTA MASIH MENYALA

Seharian daun-daun masih menghijau
dan pagi itu rumahku berseri
segar dalam damai.

Seharian daun-daun berombak
dibelai angin, dibadai sepoi
hening dalam mesra
Keesokkan
remang petang meribut dan daun-daun kering
berguguran
gerimis menghiba
dan sehelai daun yang jatuh
menceritakan sakitnya penceraian itu
akhirnya terhina disapu dan dibakar hangus.

Anjan Ahzana
Universiti Malaya, KL 2003
(Telah diterbitkan dalam majalan Perempuan)

Kata Penulis: Sajak ini adalah lahir sewaktu penghiupan dalam kampus UM yang sukar dipisahkan dengan pengalaman yang suka duka.

MAWAR DARI TANGAN SEORANG LELAKI

Belum pernah ketemui antara sepagar bunga di ambang rumahmu
ada sehalus mawar
sedang aku lewati - menyerbak dadaku
kerana semerbak harum pemiliknya

Hatta – nafasku berdenyut bertanya
tentang mahu kukucup
sebagai tanda kasih yang pertama
dari seorang lelaki
bagi memberi sepatah makna
dengan menghulur sekuntum mawar putih
untuk membayar harga harum keduanya.

Anjan Ahzana
Universiti Malaya, KL 2003
(Diterbitkan dalam majalan Nur 2004)