Thursday, September 3, 2009

DALAM RENYAH YANG SEBENTAR

Renyah di hadapan menukar pandangan
ada kabur di mata,
harus kau jernihkan
kerana tempias yang selalu menyaljukan jiwa jua,
perlu dibasahkan dalam percikan
selalu mengharuskan sebuah ketabahan
untuk melalui bilah siang tajam
sebagai seorang perempuan yang datang ke kota.

Dalam renyah itu
sesudah hujan
bagaikan ada jeriji memisahkan
antara diriku dan dirimu
dalam sarat awan
selalu menghamilkan resah di jalan
meski aku yang dalam kebasahan
dapat jua kulihat matamu kebasahan
di bawah teduhan bangunan tinggi
kota menjadi dingin
untuk menerima kau sebagai penghuni.

Kerana dalam renyah itu
payahnya kau mengatakan untuk hidup
di kota tanpa ada seorang lelaki di sisi.

Aku tidak mahu kepada keindahan
dan juga neon kota,
kerana malam yang selalu merebahkan sentosa perawan.

Kadangkala mahu kukatakan
kepada para pemuda
selimutilah gadis yang sering kau bawa pergi
dengan selubung murni
agar mereka tidak kedinginan
nanti tiada pula terbaham angin malam yang celaka.

Dan aku tidak mahu keindahan itu
meski kota ini pasti mengecewakan nikmat.

Kerana aku, cuma mahu kau selamat di sisiku
mungkin begitu jua katamu.

Anjan Ahzana
Taman Tun Teja, Rawang, Selangor
(Telah Diterbitkan dalam Mingguan Malaysia, 3 Oktober 2004)

Kata Penulis: Sajak ini terilham sewaktu aku menjalani latihan mengajar di Sek Men Agama Rawang Batu 16, Rawang, Selangor bermula pada Mei - Julai 2004. Aku memasuki taman perumahan Tun Teja yang memberikan aku suatu coretan perjalanan yang panjang untuk dikisahkan.

No comments:

Post a Comment